Friday 19 March 2010

Marhalah At-Takwin

(gambar hiasan)


Selesai sudah peringkat yang pertama... Sesungguhnya marhalah di'ayah, (penerangan, memperkenalkan, menggambarkan tentang dakwah dan cara penyampaiannya kepada orang ramai dalam setiap lapisan masyarakat) jika tidak diiringi dengan marhalah at-takwin (peringkat pembentukan dan pemilihan para pendokong dan penolong terdiri dari golongan Ansar dan Hawariyyin) serta persediaan tentera dan mengatur taktik barisan dari kalangan orang-orang yang diseru, berkemungkinan menyebabkan segala usaha yang telah dikorbankan di dalam penerangan dan penyebaran dakwah menjadi sia-sia dan hilang begitu sahaja. Begitu penting marhalah yang kedua ini.

Kesedaran rohani yang lahir dari marhalah taarif (peringkat pengenalan) tidak boleh dibiarkan musnah dan padam begitu sahaja, tetapi mesti dibersihkan dan diarahkan ke dalam jiwa supaya bertindak dan berusaha membuat perubahan dan kemajuan yang sejati dalam diri sendiri.

benih yang bercambah perlu terus disirami air agar ia terus mekar dan akarnya kukuh jauh ke dalam tanah

Medan yang pertama untuk pembentukan dan perubahan bermula dari dalam diri terlebih dahulu dan benarlah Allah Yang Maha Agung tatkala berfirman:

"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka ". (Ar-Ra'ad:ll)

Ramai di kalangan muslim yang kita seru pada hari ini telah dilahirkan dan dibesarkan di dalam masyarakat yang jauh dari hakikat Islam dan intisarinya, satu masyarakat yang dikuasai olehadat dan tradisi yang telah rosak, yang telah meresapi jiwa mereka dan sebati dalam kehidupan mereka. Jadi para pendokong dakwah yang menyeru manusia ke jalan Allah dan mengajak manusia kepada cara hidup Islam mestilah memberi perhatian dan usaha yang serius dalam: membersihkan diri mereka dari segala adat lapuk jahiliah lantas menghiasi diri mereka dengan adat-adat Islam, akhlak-akhlak Islam dan membentuk hidup manusia menurut acuan Islam dan cara hidup Islam.

"Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nyalah kami menyembah" (Al-Baqarah: 138)

(gambar hiasan)

Perubahan ini mestilah bermula dari dalam diri yang telah diberi minum dengan akidah tauhid, mengesakan Allah dan mengecapi halawatul iman (kemanisan iman) dan dapat dijelmakan pada seluruh anggota jasmani dan menguasai setiap aspek kehidupan... Marilah kita renungkan alangkah indahnya perumpamaan dan kata-kata yang telah diucapkan oleh Imam Hassan Al-Hudhaibhi rahimahullah mengenai pengertian ini tatkala beliau berkata:

"Tegakkanlah daulah Islam di dalam hatimu supaya dia tegak di atas bumi kamu..."

Muslim hari ini mempunyai bilangan yang ramai tetapi tidak mempunyai mutu yang istimewa seperti muslim pada generasi pertama di zaman Rasulullah s.a.w. Mereka tidak mampumerubah rupa dan suasana yang telah rosak. Lantaran itu mereka tidak mampu membangunkan daulah al-haq wal iman, tidak mempunyai mutu yang membolehkan mereka menghapuskan yang batil dan merealisasikan kebenaran dengan pertolongan Allah.

"Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya. Adapun yang memberi menafaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan." (Ar-Ra'ad: 17)

Kita menghendaki dari saudara muslim yang benar supaya menjadi muslim yang sejahtera akidahnya, sihat ibadahnya, teguh akhlaknya, terdidik fikirannya, kuat badannya, yang mempunyaiusaha, yang sanggup berdikari yang berkorban untuk diri sendiri dan orang lain, sanggup memerangi hawa nafsu, yang menjaga waktunya dengan sebaik-ba'iknya, berdisiplin dalam segala urusannya dan Iain-lain lagi nilai-nilai yang asasi di dalam membentuk lelaki dakwah, pendokong dakwah.

Sesungguhnya mempersiapkan lelaki mithali yang sedemikian mutu dan bentuknya memerlukan usaha yang sungguh-sungguh, ketekunan yang berterusan, kesabaran dan ketabahan yang utuh. Muslim sedemikianlah yang akan mampu dan sanggup membangunkan rumahtangga Islam yang mulia. Dia kemudiannya akan bergerak, bertindak dan berusaha membangun masyarakat Islam. Lalu membentuk pandangan umum dan cara berfikir umum secara Islam dan terus membentuk teras (dasar) yang kuat, yang di atasnyalah dapat ditegakkan harakah Islam (gerakan Islam) sebagai benih bagi daulah dan khilafah Islam. InsyaAllah Taala.

(gambar hiasan)

Usrah-usrah, pasukan-pasukan, angkatan-angkatan, ceramah, forum-forum, majlis-majlis diskusi, pelajaran, perkelahan (rehlah), pengembaraan (jaulah), risalah-risalah, sebaran-sebaran, lembaran-lembaran suratkhabar dan majalah yang telah, sedang dan akan terus kita buat, semuanya itu dinamakan wasilah atau jalan dan alat untuk mempersiapkan individu muslim secara beransuransur di dalam persiapan ini. Ibaratnya seperti jurutera di dalam membangunkan bangunan. Bermula dari seorang anggota jamaah, kemudian manjadi pemuda yang berdisiplin, kemudian sebagai seorang pemuda yang beramal seterusnya menjadi anggota mujahid yang berjihad dan berjuang untuk Islam. Wassalam.

Sunday 14 March 2010

Marhalah ad-Di'ayah (at-Ta'rif)

(gambar hiasan)

Marhalah ini penting dan asas sebab ia merupakan langkah pertama di dalam perjalanan kita di atas jalan dakwah. Sebarang kesilapan atau penyelewengan yang dilakukan di dalam pengenalan, makrifah dan kefahaman ini akan membawa kepada natijah dan akibat yang buruk dan akan membawa dakwah terpesong jauh dari garisannya.

(gambar hiasan)

"Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka itulah dia dan janganlahkamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana segalajalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa". (Al-An'aam: 153)

Di zaman Rasulullah s.a.w. Islam telah disempurnakan perkembangannya dan penyampaian menurut bentuknya yang sahih dan benar, bersih dari segala campuran, kekurangandan penyelewengan. Al-Amin Jibril membawa turun wahyu dari Allah kepada Al-AminMuhammad s.a.w. lalu baginda menyampaikan Islam itu kepada manusia dengan amanah danbenar. Akhirnya sempurnalah agama itu menurut yang diyakini benar dan suci dari segala saduran.

Walaupun sepanjang sejarahnya ia sentiasa terdedah kepada pelbagai usaha, tipu daya dangangguan yang cuba meruntuhkannya, menghapuskannya oleh musuh-musuh Islam atau berupapenyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh pelampau-pelampau dari kalangan muslim sendiri, namun demikian Allah tetap memelihara KitabNya (Al-Quran) dan menjaminnya dengan begitu rapi. Di samping itu ramai imam dan ulama yang mulia mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mulia dan menapisnya dari segala yang asing daripadanya.

Demi memastikan kita sentiasa berjalan di atas jalan Rasulullah s.a.w. maka wajiblah kita kembali semula memahami Al-Quran, memahami Sunnah Rasulullah s.a.w dan memahami sirah salafussoleh atau angkatan muslimin pertama radhiallahu'anhum dengan menjauhi sungguhsungguh dari segala kesalahan, penyelewengan atau pun dari terpesong.

Inilah yang benar-benar dikehendaki oleh imam kita As-Syahid Hassan Al-Banna dan menjadikannya rukun pertama dalam rukun bai' ah. Malah beliau telah menulis untuknya dua puluh dasar sebagai garis panduan yang melingkungi fikrah ini untuk membersihkannya dari segala campuran dan saduran dan menjauhkannya dari segala perselisihan dan perpecahan. Supaya fahaman ini menjadi penolong bagi mengumpulkan muslim di atas jalan dakwah, berusaha untuknya dan beramal baginya di dalam suasana tolong-menolong dan berganding bahu.

(gambar hiasan)

Iradah Allah telah menghendaki agar kefahaman (fikrah) di dalam jamaah Ikhwanul Muslimin ini terdedah kepada gangguan, ujian dan penapisan. Di tengah-tengah ujian ini terdapat pula kecuaian dan keterlaluan (ekstrim). Ada di antaranya yang berpendapat supaya Ikhwan menjauhkan diri dari arus pemerintahan dan politik demi memelihara diri dan dakwah dari sebarang akibat yang tidak diingini. Ada pula di antaranya yang melampau dan keterlaluan lalu menganggap semua umat Islam yang tidak menyetujui fikrah mereka adalah kafir. Walau betapa kusut dan bercelarunya kefahaman sebahagian dari manusia namun demikian, Allah s.w.t. telah menyediakan Imam As-Syahid Al-Banna untuk dakwah Islam dan mengemukakannya kepada manusia dengan jelas dan terang serta murni. Allah menyediakan untuk dakwah ini Imam Hassan Al-Hudhaibi rahimahullah dengan keistimewaannya yang tersendiri, dengan ketahanannya, dengan keteguhannya bersama kebenaran, lalu beliau menolak kecuaian dan keterlaluan itu. Untuk itu beliau telah menerima berbagai-bagai gangguan dan kesusahan yang dasyhat. Tetapi, beliau bersungguh-sungguh memelihara amanah dakwah di dalam kefahaman sifat dan akhlak hinggalah dia mengadap Ilahi dan kemudian beliau menyerahkannya kepada pendokong dakwah yang lain tanpa perubahan dan penukaran, berdiri dan bertahan bersama-sama dengan Ikhwan.

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggudan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)." (Al-Ahzab: 23)

sumber rujukan: Tariq ad-Dakwah, Mustafa Masyhur

Friday 12 March 2010

Marhalah - Marhalah Dakwah...


Salam sejahtera buat mereka yang masih tetap di jalan-Nya . Moga perjuangan kita tidak henti sehingga kita belum mencapai matlamat kita, insya-Allah. Hidup kita di medan dakwah ini banyak pancaroba, pelbagai bentuk ujian-Nya, seribu satu perkara yang menghambat kita di jalan-Nya. Tetapi, para pendakwah sekalian, banyaklah berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Moga Dia memberi kita hidayah sepanjang perjalanan ini...

Sebagai seseorang yang bekerja full time sebagai seorang da'ie, kita haruslah cakap serupa bikin. Sentiasa memikirkan masalah umat dan cara untuk menyelesaikannya, itulah hobi seorang da'ie. Rasulullah s.a.w sering mengalirkan mata pada waktu malam ketika memikirkan tentang umat baginda... Kita?

Dakwah ini harus kita faham tentang kepentingannya, dan tentang pelaksanaannya. Ia mempunyai tiga marhalah (peringkat):


  • Marhalah ad-Di'ayah (at-Ta'rif) : Marhalah propaganda, memperkenalkan, menggambarkan fikrah dan menyampaikan kepada orang ramai di setiap lapisan masyarakat.

  • Marhalah at-Takwin : Marhalah pembentukan, memilih para pendokong, menyiapkan angkatan tentera, pendakwah, dan mendidik mereka. Mereka ini terpilih daripada golongan yang menyambut seruan dakwah.


(gambar hiasan)
  • Marhalah Tanfiz : Marhalah pelaksanaan dakwah, beramal, berjuang, dan berusaha untuk mencapai tujuan.
(gambar hiasan)

Ketiga - tiga marhalah ini perlu untuk bergerak seiring kerana kesatuan dan kecantuman dakwah adalah bergantung kepada percantuman di antara satu dengan seluruhnya. Oleh itu para pendokong dakwah di dalam berdakwah, mestilah memilih dan membentuk dan di waktu yang sama dia beramal dan melaksanakan apa yang boleh dilaksanakan.

Tidak mungkin lahir ke alam nyata satu marhalah dari marhalah-marhalah itu dalam bentuk yang sempurna kecuali menurut tertib susunan itu. Tidak mungkin sempurna pembentukan ini tanpa pengenalan makrifah dan pengenalan yang sahih dan benar. Tidak mungkin lengkap satu pelaksanaan yang sempurna tanpa pembentukan dasar pendidikan yang sempurna.

Dakwah Islam yang pertama di zaman Rasulullah s.a.w. telah melalui tiga peringkat ini. Muslimin di zaman itu telah mengenali agama mereka, terdidik dan terbentuk di madrasah Rasulullah lalu mereka bangun dan membangkit mendokong dakwah Islam dengan sebaik-baiknya.

Oleh kerana itu, kita diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dari sudut jalan manakah seseorang itu menyeru dalam usaha-usaha dan kerja-kerja Islamnya. Adakah dia memberi perhatian dan memberikan hak kepada ketiga-tiga marhalah itu. Sesungguhnya sesiapa yang tampil ke hadapan untuk melaksanakan tugas untuk dakwah dan merealisasikan cita-cita dakwah, dia mestilah mengetahui dengan sungguh-sungguh dakwah Islam. Mereka mengenali dan memahami dasar dengan pengenalan dan kefahaman yang sebenar-benarnya. Di samping itu dia mesti menjadi contoh yang benar dan baik dalam setiap lapangan hidup kerana dakwah dengan menunjukk qudwah adalah jauh lebih hebat kesannya daripada dakwah berdasarkan kata - kata... Untuk setiap marhalah yang telah dinyatakan akan dihuraikan dalam post -post yang seterusnya...

sumber rujukan: Tariq ad-Dakwah , Mustafa Mashur