Friday, 19 March 2010

Marhalah At-Takwin

(gambar hiasan)


Selesai sudah peringkat yang pertama... Sesungguhnya marhalah di'ayah, (penerangan, memperkenalkan, menggambarkan tentang dakwah dan cara penyampaiannya kepada orang ramai dalam setiap lapisan masyarakat) jika tidak diiringi dengan marhalah at-takwin (peringkat pembentukan dan pemilihan para pendokong dan penolong terdiri dari golongan Ansar dan Hawariyyin) serta persediaan tentera dan mengatur taktik barisan dari kalangan orang-orang yang diseru, berkemungkinan menyebabkan segala usaha yang telah dikorbankan di dalam penerangan dan penyebaran dakwah menjadi sia-sia dan hilang begitu sahaja. Begitu penting marhalah yang kedua ini.

Kesedaran rohani yang lahir dari marhalah taarif (peringkat pengenalan) tidak boleh dibiarkan musnah dan padam begitu sahaja, tetapi mesti dibersihkan dan diarahkan ke dalam jiwa supaya bertindak dan berusaha membuat perubahan dan kemajuan yang sejati dalam diri sendiri.

benih yang bercambah perlu terus disirami air agar ia terus mekar dan akarnya kukuh jauh ke dalam tanah

Medan yang pertama untuk pembentukan dan perubahan bermula dari dalam diri terlebih dahulu dan benarlah Allah Yang Maha Agung tatkala berfirman:

"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah apa yang ada pada diri mereka ". (Ar-Ra'ad:ll)

Ramai di kalangan muslim yang kita seru pada hari ini telah dilahirkan dan dibesarkan di dalam masyarakat yang jauh dari hakikat Islam dan intisarinya, satu masyarakat yang dikuasai olehadat dan tradisi yang telah rosak, yang telah meresapi jiwa mereka dan sebati dalam kehidupan mereka. Jadi para pendokong dakwah yang menyeru manusia ke jalan Allah dan mengajak manusia kepada cara hidup Islam mestilah memberi perhatian dan usaha yang serius dalam: membersihkan diri mereka dari segala adat lapuk jahiliah lantas menghiasi diri mereka dengan adat-adat Islam, akhlak-akhlak Islam dan membentuk hidup manusia menurut acuan Islam dan cara hidup Islam.

"Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nyalah kami menyembah" (Al-Baqarah: 138)

(gambar hiasan)

Perubahan ini mestilah bermula dari dalam diri yang telah diberi minum dengan akidah tauhid, mengesakan Allah dan mengecapi halawatul iman (kemanisan iman) dan dapat dijelmakan pada seluruh anggota jasmani dan menguasai setiap aspek kehidupan... Marilah kita renungkan alangkah indahnya perumpamaan dan kata-kata yang telah diucapkan oleh Imam Hassan Al-Hudhaibhi rahimahullah mengenai pengertian ini tatkala beliau berkata:

"Tegakkanlah daulah Islam di dalam hatimu supaya dia tegak di atas bumi kamu..."

Muslim hari ini mempunyai bilangan yang ramai tetapi tidak mempunyai mutu yang istimewa seperti muslim pada generasi pertama di zaman Rasulullah s.a.w. Mereka tidak mampumerubah rupa dan suasana yang telah rosak. Lantaran itu mereka tidak mampu membangunkan daulah al-haq wal iman, tidak mempunyai mutu yang membolehkan mereka menghapuskan yang batil dan merealisasikan kebenaran dengan pertolongan Allah.

"Demikianlah Allah membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya. Adapun yang memberi menafaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan." (Ar-Ra'ad: 17)

Kita menghendaki dari saudara muslim yang benar supaya menjadi muslim yang sejahtera akidahnya, sihat ibadahnya, teguh akhlaknya, terdidik fikirannya, kuat badannya, yang mempunyaiusaha, yang sanggup berdikari yang berkorban untuk diri sendiri dan orang lain, sanggup memerangi hawa nafsu, yang menjaga waktunya dengan sebaik-ba'iknya, berdisiplin dalam segala urusannya dan Iain-lain lagi nilai-nilai yang asasi di dalam membentuk lelaki dakwah, pendokong dakwah.

Sesungguhnya mempersiapkan lelaki mithali yang sedemikian mutu dan bentuknya memerlukan usaha yang sungguh-sungguh, ketekunan yang berterusan, kesabaran dan ketabahan yang utuh. Muslim sedemikianlah yang akan mampu dan sanggup membangunkan rumahtangga Islam yang mulia. Dia kemudiannya akan bergerak, bertindak dan berusaha membangun masyarakat Islam. Lalu membentuk pandangan umum dan cara berfikir umum secara Islam dan terus membentuk teras (dasar) yang kuat, yang di atasnyalah dapat ditegakkan harakah Islam (gerakan Islam) sebagai benih bagi daulah dan khilafah Islam. InsyaAllah Taala.

(gambar hiasan)

Usrah-usrah, pasukan-pasukan, angkatan-angkatan, ceramah, forum-forum, majlis-majlis diskusi, pelajaran, perkelahan (rehlah), pengembaraan (jaulah), risalah-risalah, sebaran-sebaran, lembaran-lembaran suratkhabar dan majalah yang telah, sedang dan akan terus kita buat, semuanya itu dinamakan wasilah atau jalan dan alat untuk mempersiapkan individu muslim secara beransuransur di dalam persiapan ini. Ibaratnya seperti jurutera di dalam membangunkan bangunan. Bermula dari seorang anggota jamaah, kemudian manjadi pemuda yang berdisiplin, kemudian sebagai seorang pemuda yang beramal seterusnya menjadi anggota mujahid yang berjihad dan berjuang untuk Islam. Wassalam.

Sunday, 14 March 2010

Marhalah ad-Di'ayah (at-Ta'rif)

(gambar hiasan)

Marhalah ini penting dan asas sebab ia merupakan langkah pertama di dalam perjalanan kita di atas jalan dakwah. Sebarang kesilapan atau penyelewengan yang dilakukan di dalam pengenalan, makrifah dan kefahaman ini akan membawa kepada natijah dan akibat yang buruk dan akan membawa dakwah terpesong jauh dari garisannya.

(gambar hiasan)

"Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka itulah dia dan janganlahkamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana segalajalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa". (Al-An'aam: 153)

Di zaman Rasulullah s.a.w. Islam telah disempurnakan perkembangannya dan penyampaian menurut bentuknya yang sahih dan benar, bersih dari segala campuran, kekurangandan penyelewengan. Al-Amin Jibril membawa turun wahyu dari Allah kepada Al-AminMuhammad s.a.w. lalu baginda menyampaikan Islam itu kepada manusia dengan amanah danbenar. Akhirnya sempurnalah agama itu menurut yang diyakini benar dan suci dari segala saduran.

Walaupun sepanjang sejarahnya ia sentiasa terdedah kepada pelbagai usaha, tipu daya dangangguan yang cuba meruntuhkannya, menghapuskannya oleh musuh-musuh Islam atau berupapenyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh pelampau-pelampau dari kalangan muslim sendiri, namun demikian Allah tetap memelihara KitabNya (Al-Quran) dan menjaminnya dengan begitu rapi. Di samping itu ramai imam dan ulama yang mulia mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mulia dan menapisnya dari segala yang asing daripadanya.

Demi memastikan kita sentiasa berjalan di atas jalan Rasulullah s.a.w. maka wajiblah kita kembali semula memahami Al-Quran, memahami Sunnah Rasulullah s.a.w dan memahami sirah salafussoleh atau angkatan muslimin pertama radhiallahu'anhum dengan menjauhi sungguhsungguh dari segala kesalahan, penyelewengan atau pun dari terpesong.

Inilah yang benar-benar dikehendaki oleh imam kita As-Syahid Hassan Al-Banna dan menjadikannya rukun pertama dalam rukun bai' ah. Malah beliau telah menulis untuknya dua puluh dasar sebagai garis panduan yang melingkungi fikrah ini untuk membersihkannya dari segala campuran dan saduran dan menjauhkannya dari segala perselisihan dan perpecahan. Supaya fahaman ini menjadi penolong bagi mengumpulkan muslim di atas jalan dakwah, berusaha untuknya dan beramal baginya di dalam suasana tolong-menolong dan berganding bahu.

(gambar hiasan)

Iradah Allah telah menghendaki agar kefahaman (fikrah) di dalam jamaah Ikhwanul Muslimin ini terdedah kepada gangguan, ujian dan penapisan. Di tengah-tengah ujian ini terdapat pula kecuaian dan keterlaluan (ekstrim). Ada di antaranya yang berpendapat supaya Ikhwan menjauhkan diri dari arus pemerintahan dan politik demi memelihara diri dan dakwah dari sebarang akibat yang tidak diingini. Ada pula di antaranya yang melampau dan keterlaluan lalu menganggap semua umat Islam yang tidak menyetujui fikrah mereka adalah kafir. Walau betapa kusut dan bercelarunya kefahaman sebahagian dari manusia namun demikian, Allah s.w.t. telah menyediakan Imam As-Syahid Al-Banna untuk dakwah Islam dan mengemukakannya kepada manusia dengan jelas dan terang serta murni. Allah menyediakan untuk dakwah ini Imam Hassan Al-Hudhaibi rahimahullah dengan keistimewaannya yang tersendiri, dengan ketahanannya, dengan keteguhannya bersama kebenaran, lalu beliau menolak kecuaian dan keterlaluan itu. Untuk itu beliau telah menerima berbagai-bagai gangguan dan kesusahan yang dasyhat. Tetapi, beliau bersungguh-sungguh memelihara amanah dakwah di dalam kefahaman sifat dan akhlak hinggalah dia mengadap Ilahi dan kemudian beliau menyerahkannya kepada pendokong dakwah yang lain tanpa perubahan dan penukaran, berdiri dan bertahan bersama-sama dengan Ikhwan.

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggudan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)." (Al-Ahzab: 23)

sumber rujukan: Tariq ad-Dakwah, Mustafa Masyhur

Friday, 12 March 2010

Marhalah - Marhalah Dakwah...


Salam sejahtera buat mereka yang masih tetap di jalan-Nya . Moga perjuangan kita tidak henti sehingga kita belum mencapai matlamat kita, insya-Allah. Hidup kita di medan dakwah ini banyak pancaroba, pelbagai bentuk ujian-Nya, seribu satu perkara yang menghambat kita di jalan-Nya. Tetapi, para pendakwah sekalian, banyaklah berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Moga Dia memberi kita hidayah sepanjang perjalanan ini...

Sebagai seseorang yang bekerja full time sebagai seorang da'ie, kita haruslah cakap serupa bikin. Sentiasa memikirkan masalah umat dan cara untuk menyelesaikannya, itulah hobi seorang da'ie. Rasulullah s.a.w sering mengalirkan mata pada waktu malam ketika memikirkan tentang umat baginda... Kita?

Dakwah ini harus kita faham tentang kepentingannya, dan tentang pelaksanaannya. Ia mempunyai tiga marhalah (peringkat):


  • Marhalah ad-Di'ayah (at-Ta'rif) : Marhalah propaganda, memperkenalkan, menggambarkan fikrah dan menyampaikan kepada orang ramai di setiap lapisan masyarakat.

  • Marhalah at-Takwin : Marhalah pembentukan, memilih para pendokong, menyiapkan angkatan tentera, pendakwah, dan mendidik mereka. Mereka ini terpilih daripada golongan yang menyambut seruan dakwah.


(gambar hiasan)
  • Marhalah Tanfiz : Marhalah pelaksanaan dakwah, beramal, berjuang, dan berusaha untuk mencapai tujuan.
(gambar hiasan)

Ketiga - tiga marhalah ini perlu untuk bergerak seiring kerana kesatuan dan kecantuman dakwah adalah bergantung kepada percantuman di antara satu dengan seluruhnya. Oleh itu para pendokong dakwah di dalam berdakwah, mestilah memilih dan membentuk dan di waktu yang sama dia beramal dan melaksanakan apa yang boleh dilaksanakan.

Tidak mungkin lahir ke alam nyata satu marhalah dari marhalah-marhalah itu dalam bentuk yang sempurna kecuali menurut tertib susunan itu. Tidak mungkin sempurna pembentukan ini tanpa pengenalan makrifah dan pengenalan yang sahih dan benar. Tidak mungkin lengkap satu pelaksanaan yang sempurna tanpa pembentukan dasar pendidikan yang sempurna.

Dakwah Islam yang pertama di zaman Rasulullah s.a.w. telah melalui tiga peringkat ini. Muslimin di zaman itu telah mengenali agama mereka, terdidik dan terbentuk di madrasah Rasulullah lalu mereka bangun dan membangkit mendokong dakwah Islam dengan sebaik-baiknya.

Oleh kerana itu, kita diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dari sudut jalan manakah seseorang itu menyeru dalam usaha-usaha dan kerja-kerja Islamnya. Adakah dia memberi perhatian dan memberikan hak kepada ketiga-tiga marhalah itu. Sesungguhnya sesiapa yang tampil ke hadapan untuk melaksanakan tugas untuk dakwah dan merealisasikan cita-cita dakwah, dia mestilah mengetahui dengan sungguh-sungguh dakwah Islam. Mereka mengenali dan memahami dasar dengan pengenalan dan kefahaman yang sebenar-benarnya. Di samping itu dia mesti menjadi contoh yang benar dan baik dalam setiap lapangan hidup kerana dakwah dengan menunjukk qudwah adalah jauh lebih hebat kesannya daripada dakwah berdasarkan kata - kata... Untuk setiap marhalah yang telah dinyatakan akan dihuraikan dalam post -post yang seterusnya...

sumber rujukan: Tariq ad-Dakwah , Mustafa Mashur

Sunday, 14 February 2010

Usrah tidak bermula selepas umul kitab al - Fatihah???



Habis tu, bila??



(gambar hiasan)

Salam sejahtera ke atas kalian yang masih tetap di jalan ke arah keredhaan-Nya insya-Allah... Moga matlamat kalian tidak lari dari menjadikan Allah sebagai matlamat kita dan moga tugas kita sebagai seorang da'ie tidak akan henti walau sejenak serta terus menghasilkan benih benih dakwah yang terus mekar di muka bumi Allah ini...

Untuk post saya kali ini ingin disentuh sedikit tentang wasilah utama tarbiah iaitu usrah...
Sebenarnya, bilakah usrah itu sebenar - benarnya bermula? Adakah selepas bacaan ummul kitab al - Fatihah, di tengah - tengah usrah, atau di pengakhiran halaqah tarbawiyah tersebut?

Ini sedikit petikan daripada blog akh Syafiq Aizat tentang jawapan dan sedikit huraiannya...

Sebenarnya,USRAH itu dimulakan dengan Kafarah al-Majlis dan Surah al-Asr. Diakhiri dengan Surah al-Fatihah"

Pernyataan ini adalah untuk mengingatkan kita bahawa sememangnya usrah itu adalah di luar Halaqah.Usrah yang sebenarnya adalah praktikal daripada segala bahan dan teori yang diperolehi daipada Halaqah Usrah.Perkara ini perlu sama-sama kita ingat.Begitulah Islam...Islam adalah praktikal bukan sekadar teori.Hasil daripada akidah yang mantap maka kita akan melahirkan sikap Ubudiyyah kepada Allah.Di dalam halaqah,kita diajar dan diberikan segala ilmu tetapi sedarkah ia adalah untuk apa???...Untuk diAMALKAN.

Begitulah tarbiyyah mengajarkan kita. Pembinaan ummah ini memerlukan lebih daripada 1 atau 2 atau 3 jam seminggu daripada seorang muslim itu. Pengorbanannya, untuk tajarrud ilallah, untuk meletakkan dalam dirinya, 100% untuk perjuangan ini, melebihi kepentingan peribadi pada setiap detik, hinggalah di saat-saat akhir itu. Hinggakan matinya juga diharapkan menguntungkan islam, seperti matinya ghulam dalam hadis ghulam ad-dakwah, tafsir kepada Surah al-Buruj.

Namun, ikhwah dan akhwat sekalian,
Tarbiyyah juga mengajar kita untuk mengikut marhalah (tahap) perkembangan manusia dalam kita melahirkan 'full-timer muslim' itu. Ianya menuntut kita bersabar, membiarkan anak didik(mad'u) kita berkembang selari dengan masa, seumpama menunggu buah delima hijau bertukar warna. Walaupun ia kelihatan sudah berseri-seri, jangan gopoh memetiknya. Terkadang, kita nampak buah delima itu sudah cukup kemerahan, terasa ingin sangat menganyangnya, merasai setiap biji delimanya, yang dibayangkan sudah merah ranum seperti kulitnya. Namun, jika kuning dan merah itu masih belum sebati di selaput luarnya, merekah di hujung kantungnya itu pun belum pasti, kita pasti akan kecewa, kerana hanya butir-butir mentah bakal menjadi santapan, tanpa kita mampu memperbaikinya kembali. Tanpa kita mampu untuk mengharapkan buah itu berkembang, menjadi buah yang kita impi-impi, mimpi-mimpikan selama ini..Itulah yang digambarkan oleh As-Syeikh Hassan Al-Banna dalam risalahnya:

"Bukan dari golongan kami orang yang memetik buah sebelum masaknya."Bekerja mengikut marhalah itu merupakan rahmat, dan jika sebaliknya, merupakan bala, gambaran amal yang sia-sia.Jauh daripada bekerja mengikut konsep-konsep umum dakwah, apatah lagi mengikut keperluan marhalah ini, menyebabkan dakwah yang kita lakukan ini tidak ubah seperti majlis-majlis ilmu yang biasa. Dakwah kita yang sepatutnya penyeruan ke arah pembebasan daripada penghambaan sesama manusia ini, seringkali menjadi sekadar dakwah menyeru ke masjid. Tiada matlamat yang jelas. Tiada amal yang terarah. Tiada penguasaan bahan yang mantap. Tiada penyempurnaan dengan kemahiran bermain dengan hati-hati insani.

"Dakwah kita adalah segalanya", hanya tinggal kata-kata. Kerana akhirnya, kita hanya berusrah selama 1 jam, 2 jam atau 3 jam seminggu, tanpa merasakan ruh usrah dalam diri bermula tamatnya usrah. Kadang-kadang, apabila kita semakin tidak bersedia, kita lebih selesa jika keluar beramai-ramai dan mendirikan 'usrah makan'. Berkumpul di kedai-kedai mamak, borak-borak kosong, dan mendidik anak-anak usrah bercakap yang sia-sia. Kata mereka, "Itu lebih baik daripada tiada apa-apa". Dan kata mereka lagi, "Usrah bukan rigid dalam halaqah-halaqah itu sahaja".

Sememangnya pernyataan ini BENAR dan SALAH.
Benar, usrah itu tidak terbatas dalam halaqah-halaqah perbincangan itu semata-mata.
Salah, kerana anda tidak akan berhasil apa-apa jika masih ingin bersenang-senang, bermalas-malasan begitu. Hendak mengetahui hakikat usrah serta rukunnya? Mari kita bersoal jawab dengan Al-Quran:
Tazkirah: Tazkiyatul Nafs) dan mengajarkan kepadamu Kitab (Al-Quran: Tafsir) dan Hikmah (Sunnah: Sirah dan Hadis), serta mengajarkan apa yangbelum kamu ketahui. (Taujihat dan Musykilah)

"Selepas usrah, apa yang kita harapkan kita semua rasai?"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.

"Takutnya ana, ya akhi. Jika ada masalah dalam usrah, apa yang perlu ana buat?"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan SABAR dan SOLAT. Sungguh Allah beserta orang-orang yang sabar."(Al-Baqarah 2: 153)

Pentingnya Pertemuan Usrah
Kefahaman akan pentingnya sebuah perjumpaan yang sebegitu(usrah), dengan syarat-syarat sah usrah itu, memandu kita untuk lebih berdisiplin dalam membina rijal-rijal. Sama seperti khususnya pembinaan para sahabat rasulullah, bukan bidaah yang direka-reka. Allah sudah menyediakan templatenya, kita hanya sebagai pelaksana.Kita tahu, bahawa, setiap minggu, usrah sebegitu wajib dilaksanakan. Dan ketahuilah sahabatku, perjumpaan setiap minggu itu akan menentukan komitmen anak-anak usrah pada minggu-minggu seterusnya. Ia akan menjadi penentu keterikatan anak-anak didik dengan saff dakwah ini. Hakikat kefuturan bermula di sini, sekiranya kita hanya mampu membuatkan mereka berfikir tentang islam, semasa halaqah kecil, sementara itu sahaja.

Disinilah letaknya kelemahan usrah-usrah di sekolah, yakni usrah-usrah yang diwajibkan, tanpa mengambil kira bahawa pelajar-pelajar itu merupakan potensi-potensi ummah yang layak membuat keputusan sendiri, kita sewajarnya hanya membimbing, bukan memaksa mereka. Gagalnya usrah kita, jika sang murobbi, hanya bertaut di hati tatkala usrah. Jika sang murobbi lansung tidak diingat mereka ketika dibaca doa rabithah. Kerana, pembinaan usrah tidak diasaskan dengan ukhuwwah islamiyyah yang menyejukkan perasaan. Aku pernah merasai kekeringan itu dahulu, yang mematikan hasratku untuk bertemu lagi dan lagi. Kita tidak sudi, jika perjumpaan kita itu mekar dengan cinta sesama saudara, yang akan melonjakkan semangat yang membara.

Sang Murobbi seharusnya menjadi mesin penggerak tanpa mengira masa dan waktu.Dengan perasaan atau tanpa perasaan, mereka tidak serik-serik bertemu. Menyelesaikan permasalahan-permasalahan kecil, tindakan orang-orang bijak pandai, sebelum ia besar, lebih besar dari segala kebaikan mereka. Sang Murobbi sentiasa membakar tekad mad'u, agar mereka tidak larut dalam biah jahiliyyah, menjadi sebahagian dari penyumbang kekufuran. Berada bersama, mengingatkan mereka tentang kedamaian bersama islam, sehinggakan mereka merasakan, inilah biah dan suasana yang ingin mereka wujudkan dalam masyarakat mereka. Sudah tentunya semua ini tidak dapat dilaksana, jika taaruf tidak dilaksanakan dengan setelitinya.

Oleh itu, tetapkanlah pendirian kita dan berdoalah agar Allah membimbing kita ke arah yang haq, dan moga kita tidak menjadi pokok yang layu dan seterusnya tumbang ke dalam lembah jahiliah... Amin...

Friday, 5 February 2010

Peringatan Buat Manusia



Assalamualaikum dan salam sejahtera buat saudara yang sempat mengunjungi blog ini sekalian. Sempat juga ana postkan sedikit artikel sebagai tazkirah buat diri kita, moga post ini dapat mentazkiahkan hati kita dari kotak kotak hitam yang bisa menggelapkan hati seseorang... Insya-Allah...

Baru-baru ini dunia dikejutkan lagi dengan tragedi gempa bumi, kali ini di Haiti, sebuah negara kepulauan yang miskin dalam gugusan kepulauan berhampiran benua Amerika. Kemusnahan dianggarkan amat dahsyat, kemalangan jiwa juga dijangkakan akan mencecah 4 dan tidak mustahil 5 angka.

Siri-siri peringatan dari Allah ini semakin lama semakin kerap, apabila manusia telah terlalu jauh dari jalan yang lurus dan melampaui batas di atas muka bumi, maka Allah berbicara kepada manusia melalui siri-siri gempa yang mengingatkan hati yang lalai. Adapun bagi hati yang tidak pernah kisah akan apa yang berlaku, peringatan-peringatan yang datang akan berlalu bagaikan angin bertiup, kehidupan diteruskan ibarat tiada apa yang berlaku, hidup diteruskan, biarlah peringatan itu dan biarlah sengsara orang lain yang tidak ada kena mengena dengan diri.

Allah berbicara dengan manusia dalam 3 cara. Kaedah yang pertama adalah dengan Al-Quran. Dalam kitab yang agung ini, manusia dijelaskan akan asal-usul kehidupan, hakikat penciptaan dan kehidupan selepas kematian serta panduan kehidupan diatas muka bumi. Kehidupan berlandaskan Al-Quran ini diterjemahkan oleh rasulnya yang mulia, Muhammad S.A.W. Namun ramai manusia mengabaikan kalam agung ini, hatta kaum muslimin sendiri. Yang membacanya pun ramai yang seperti burung kakaktua yang mengungkapkan kalam indah yang tidak difahaminya.

Kaedah yang kedua adalah dengan bahasa keunikan dan keindahan ciptaannya. Keseimbangan ekosistem alam, keharmonian peredaran bumi dan planet-planet di atas orbit tanpa tersasar walaupun 1 cm. Bahkan di dalam diri manusia sendiri terserlah kehebatan dan keunikan ciptaan Allah, jantung yang terus menerus taat berdegup, buah pinggang yang setia menjadi penapis segala sisa-sisa yang tidak diperlukan, keharmonian segala organ tubuh badan manusia adalah antara tanda kebesaran yang sering diabaikan. Namun manusia sering mengabaikan bicara bahasa ciptaan ini. Lebih malang ada yang mendakwa bahawa segala-galanya terjadi sendiri. Sungguh tidak masuk akal!

Kaedah yang ketiga adalah melalui siri-siri peringatan yang didatangkan dalam bentuk yang pelbagai, mungkin dalam bentuk musibah yang melanda diri dan yang paling menggerunkan adalah mungkin apabila datang dalam bentuk bencana alam yang memusnahkan. Tatkala datang bala seperti ini, ia menjadi pengajaran untuk hati-hati yang ingin kembali kepadanya agar kembali ingat dan melaksanakan tugas khalifah untuk memakmurkan bumi ini.

Hari ini di Haiti berlaku gempa bumi yang paling dasyat sejak 200 tahun, esok lusa pula siapa tahu dimana? Belum sampaikah masa untuk kita tunduk dan patuh kepada perintahnya? Peringatan bagaimana lagi yang ingin kita tunggu?


(gambar hiasan)


(petikan artikel dari ismaweb)