Saturday, 14 August 2010
Sang Da'ie Yang Tidak Pernah Gentar
Kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menyebabkan bangkitnya kemarahan orang-orang badwi di sekitar Madinah untuk mencemuh dan mengungkit-ngungkit dendam lama yang sebelumnya sudah terpendam. Namun tanpa curiga sedikit pun Rasulullah memberikan sambutan baik atas kedatangan sekelompok pedagang Arab yang menyatakan keinginan sukunya hendak mendengar dan memeluk Islam. Untuk itu mereka meminta para jurudakwah dikirimkan ke kampung suku itu. Rasulullah s.a.w meluluskan. Enam orang sahabat yang alim diutus untuk melaksanakan tugas tersebut. Mereka berangkat bersama para pedagang Arab itu.
Di kampung Ar-Raji, dalam wilayah kekuasaan suku Huzail, para pedagang itu tiba-tiba melakukan pengurangan atas keenam sahabat Rasulullah s.a.w, sambil berseru meminta bantuan kaum Huzail. Keenam pendakwah itu dengan pantas menghunus senjata masing-masing dan siap mengadakan perlawanan, setelah insaf bahwa mereka tengah dijebak.
Para pedagang yang licik tadi berteriak, "Sabar saudara-saudara. Kami tidak bermaksud membunuh atau menganiayai kalian. Kami cuma mahu menangkap kalian untuk kami jual ke Makkah sebagai budak belian. Keenam sahabat Rasulullah s.a.w itu tahu nasib mereka bahkan lebih buruk daripada terbunuh dalam pertarungan tidak berimbang itu. Kerana mereka segera bertakbir seraya menyerang dengan tangkas.
Terjadilah pertempuran seru antara enam pendakwah berhati tulus dengan orang-orang yang beringas yang jumlanya jauh lebih besar. Pedang mereka ternyata cukup tajam. Beberapa orang lawan telah menjadi korban. Akhirnya tiga sahabat tertusuk musuh dan langsung gugur. Seorang lagi dibaling batu beramai-ramai hingga tewas. Bakinya tinggal dua orang; Zaid bin Addutsunah dan Khusaib bin Adi.
Apalah daya dua orang pejuang, betapa pun lincahnya perlawanan merek, menghadapi begitu banyak musuh yang tangguh ? Selang beberapa saat sesudah jatuhnya empat sahabat tadi, kedua orang itu dapat dilumpuhkan dan belenggu. Lalu mereka diangkut menuju pasar budak di Makkah. Zaid dibeli oleh Shafwan bin Umayyah. Ayah Shafwan, Umayyah bin Khalaf, adalah majikan Bilal dan Amir bin Fuhairah. Umayyah terkenal sangat kejam kepada budak-budaknya. Bilal pernah disalib di atas pasir dan dijemur di tengah teik matahari dengan badan ditindihi batu. Untung Bilal ditebus oleh Saiyidina Abu Bakar Assidiq dan dimerdekakan. Orang Habsyi ini kemudian terkenal sebagai sahabat dekat Rasulullah s.a.w. dan diangkat sebagai Muazin, tukang azan.
Dalam perang Badar, Umayyah bin Khalaf berhadap-hadapan dengan bekas budaknya itu. Dan Bilal berhasil membunuhnya dalam pertempuran yang sengit satu lawan satu. Adapun Khubaib bin Adi diambil oleh Uqbah bin Al-Harits dengan tujuan yang sama seperti maksud Shafwan membeli Zaid bin Abdutsunah. Iaitu untuk membalas dendam kebencian mereka kepada umat Islam.
Maka oleh orang-orang Quraisy, Zaid diseret menuju Tan'im, salah satu tempat untuk miqat umrah. DI sanalah Zaid akan dijalani hukuman pancung, buatkan sesuatu yang ia tidak pernah melakukannya, iaitu terbunuhnya Umayyah bin Khalaf, ayahanda Shafwan. Menjelang algojo menetak parangnya, pemimpin kaum Musyrikin Abu Sufyan bertanya garang, "Zaid bedebah, apakah engkau senang seandainya di tempatmu ini Muhammad, sedangkan engkau hidup tenteram bersama keluargamu di rumah ?"
"Janganlah begitu," bantah Zaid dengan keras. "Dalam keadaan begini pun aku tidak rela Rasulullah tertusuk duri kecil di rumahnya."
Abu Sufyan menjadi marah. "Bereskan," teriaknya kepada algojo. Dalam sekelip mata, sebilah parang berkilat di tengah terik matahari dan darah segar menyembur keluar. Zaid bin Abdutsunah gugur setelah kepalanya dipotong, menambah jumlah penghuni syurga dengan seorang syuhada' lagi. Di hati Abu Sufyan dan orang-orang Quraisy lainnya timbul keheranan akan kesetiaan para sahabat kepada Muhammad. Sampai tergamam di bibir Abu Sufyan ucapan kagum, "Aku tidak perna menemukan seorang yang begitu dicintai para sahabat seperti Muhammad."
Sesudah selesai pemancungan Zaid, datang pula rombongan lain yang menyeret Khubaib bin Adi. Sesuai dengan hukum yang berlaku di seluruh Tanah Arab, kepada pesalah yang dijatuhi qisas mati diberikan hak untuk menyampaikan permintaan terakhir. Demikian juga Khubaib. Juru dakwah yang bestari ini meminta izin untuk solat sunnah dua rakaat. Permohonan tersebut dikabulkan. Dengan khusyuk dan tenang, seolah-olah dalam suasana aman tenteram tanpa ancaman kematian, Khubaib melaksanakan ibadahnya sampai selesai. Setelah salam dan mengangkat dua tangan, ia berkata, "Demi Allah. Andaikata bukan kerana takut disangka aku gentar menghadapi maut, maka solatku akan kulakukan lebih panjang."
Khubaib disalib dahulu lalu dihabisi sepertimana dilaksanakan ke atas Zaid bin Abdutsunah. Jasadnya telah lebur sebagaimana jenazah lima sahabatnya yang lain. Namun semangat dakwah mereka yang dilandasi keikhlasan untuk menyebarkan ajaran kebenaran takkan pernah padam dari permukaan bumi. Semangat itu terus bergema sehingga makin banyak jumlah pendakwah yang dengan kekuatan sendiri, atas biaya peribadi, menyelusup keluar-masuk pedalaman berbatu-batu karang atau berhutan-hutan belantara buat menyampaikan firman Tuhan menuju keselamatan...
Thursday, 17 June 2010
Takut Dengan Ketidaksempurnaan Diri
- mempunyai banyak kelemahan
- tidak soleh
- tidak baik
- perangai seperti syaitan
- merasakan diri tidak cukup ilmu
'Aku ni bukanlah bagus sangat...'
'Sapelah aku nak bimbing orang...'
Sedemikianlah bisikan syaitan yang mampu untuk memperdaya kita untuk tidak sanggup memikul tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya...
Nabi juga pernah mengatakan ganjaran untuk seseorang itu menyebabkan orang lain mendapat hidayah ialah satu dunia dan seisinya! Oleh itu, dimanakah usaha - usaha kita untuk mengumpul bekalan untuk akhirat kelak? Inilah dia, antara bekalan yang paling Allah suka, iaitu dakwah...
Sunday, 13 June 2010
Izzah Berdakwah...
Allah s.w.t Maha Agung. Segala yang disandarkan pada-Nya adalah perkara yang agung.
Dakwah Allah sangat agung kerana nilainya dalam hidup alam semesta ini tidak terkira, ia boleh dikatakan nyawa kepada alam ini. Ini kerana ia adalah tujuan penciptaan manusia, penurunan Al-Quran dan penciptaan alam semesta ini.
Seseorang yang menyandarkan dirinya kepada dakwah, ia bererti menyandarkan dirinya pada sesuatu yang paling mulia. Oleh kerana itulah mereka yang mewaqafkan diri untuk dakwah Allah ini akan terus kekal, disebut-sebut sehingga ditulis dalam kitab yang paling mulia, iaitu Al-Quran Al-Karim.
Para anbiya’ dan salafussoleh ketika mewaqafkan diri mereka dengan dakwah ini, mereka tidak berniat atau menyangka mereka ini akan dikenang sepanjang zaman, tetapi Allah telah mengangkat nilai mereka yang tinggi, sehingga mengabadikan nama-nama insan terpilih itu dalam kitab-Nya, dan menggerakkan jari-jemari para penulis sejarah sahabat untuk mencatat segala riwayat hidup, generasi-generasi dakwah yang agung ini.
Diri mereka hancur lebur, dek kerana kemuliaan dakwah ini. Mereka meletakkan dakwah di hadapannya, maka segalanya pasti menjadi remeh dan mudah di sisinya. Seperti kata-kata pepatah Arab:
- Barangsiapa yang mengetahui betapa besarnya nilai barang yang diminta, sudah pasti ringanlah baginya segala apa yang dikorbankan -
Orang begini Allah akan naikkan martabatnya, di sisi manusia, dan seluruh alam semesta, serta yang paling hebat adalah di sisi-Nya.
Dalam kehidupan seharian kita, kadang-kadang kita mencari sebuah kemuliaan.
Lantas kita mencari kemuliaan berbentuk kemasyhuran di sisi manusia, material, berbentuk intelektual, berbentuk fizikal, dan apa-apa bentuk lagi yang zahir-zahir.
Kita semua adalah makhluk yang mulia. Tetapi kemuliaan kita ada darjatnya. Buktinya Allah menyebut orang yang paling mulia adalah orang yang bertaqwa.
Bila kita mencari jenis-jenis kemuliaan yang disebut, maka satu pun daripadanya tidak mampu membawa kita kepada taqwa. Ini adalah kerana taqwa itu sebenarnya kita membina dinding di antara diri kita dan maksiat. Semakin tinggi dinding tersebut, maka semakin susah untuk kita ke seberang maksiat, lantas makin tinggi nilai taqwa kita.
Segala yang disebutkan tadi itu langsung tidak mampu membawa kita ke arah kemuliaan yang paling tinggi. Bahkan ia hanya kemuliaan di sisi manusia, dan di sisi Allah nilainya tiada.
Maka di sini bila kita merenung ayat-ayat Allah seperti yang disebut di atas, maka kita mengetahui bahawa kemuliaan sebenar yang patut kita cari, adalah kemuliaan yang membawa kita makin rapat kepadanya. Maka ia tidak lain dan tidak bukan, adalah kemuliaan dakwah Allah itu sendiri.
Bila sang daie meletakkan di hadapan matanya, di hadapan segala amalnya, di hadapan segala pertimbangannya, mahu memuliakan dakwah Allah, maka pada ketika itulah Allah akan memuliakannya, dan meletakkannya di hadapan saf-saf para mujahidin yang telah mewakafkan diri mereka, hanya kerana mahu dakwah Allah itu terus mulia.
Ini berlaku dalam sejarah. Sejarah telah memuliakan generasi sahabat, kerana mereka membawa kemuliaan dakwah ke seluruh alam. Lantas mereka menjadi generasi yang paling tsiqah sehinggakan riwayat hidup mereka dinilai satu-satu kerana boleh dibuat contoh dan dalil bagi orang-orang yang selepas mereka.
Kehidupan mereka sebelum mendapat keizzahan dakwah itu penuh dengan jahiliyyah yang sangat dahsyat. Tetapi seperti mana Allah telah menggantikan kegelapan malam dengan cahaya mentari pada waktu siang, seperti itulah Allah memuliakan mereka dengan cahaya dakwah, yang telah membawa rahmat ‘kemuliaan’ (izzah) kepada seluruh alam.
Oleh kerana kemuliaan ini sungguh tinggi, maka dengan itulah Umar Al-Khattab r.a menyebut kalimah yang masyhur:
“Kita adalah kaum yang dimuliakan dengan Islam, jika kita cari selainnya maka Allah akan hinakan kita”.
Ini kerana umat Islam adalah umat dakwah. Mereka mulia kerana amanah dakwah yang telah diamanahkan kepada mereka. Jika mereka meninggalkan dakwah, maka Allah pasti akan menggantikannya dengan umat yang lain, kerana mereka ini sudah tak layak memikul amanah ini.
Mereka dahulunya ketika merasakan kemuliaan ini, mereka mencari sebanyak mungkin ruang agar dakwah itu mulia di segenap pelusuk dunia. Diri mereka menerjah seluruh dunia agar dakwah itu subur dan kemuliaannya terkembang ke seluruh umat. Diri mereka adalah dakwah yang mulia. Dengan diri mereka dakwah itu mulia.
Mereka tidak memahami bahasa-bahasa picisan kerana himmah (kehendak) mereka melepasi segala ketinggian alam semesta dan bersambung terus kepada Tuhan Arasy. Mata dan kepala mereka sering mendongak ke langit, menandakan jiwanya sentiasa terpaut pada Tuhan Yang Maha Tinggi, sepertimana terpautnya jiwa Kekasih s.a.w ketika menunggu wahyu penentuan qiblat daripada Allah.
“Sesungguhnya Kami telah melihat pandanganmu yang berulang-ulang ke arah langit, maka dengan itu Kami akan mengarahkan agar kamu menghadap kepada qiblat yang kau redha, maka palingkanlah mukamu ke Masjidil Haram” – Surah Al-Baqarah.
Jika kita ingin mulia, ambillah kemuliaan yang sebenar di sisi Allah. Padanya ada segala kemuliaan, tinggikan himmah kita hingga mencapai kepada matlamat yang paling agung iaitu tersebarnya dakwah ini dan menjadikan dakwah ini dimuliakan di seluruh dunia.
Ajarlah generasi kita erti kemuliaan ini, didiklah mereka dengan erti kemuliaan ini seperti mana Allah mendidik Musa a.s dengan firmannya:
“Kami berkata: Janganlah takut, sesungguhnya engkau (wahai Musa) lebih tinggi (daripada mereka itu – firaun dan ahli sihirnya)” – Surah Taha
Musa pada ketika itu tiada langsung kemuliaan duniawi untuk mengalahkan Firaun dan pengikutnya, tetapi dirinya yang membawa risalah itu sudah cukup untuk Allah memuliakan dirinya di hadapan semua manusia yang hadir menyaksikan pertembungan antara tipu daya sihir dan juga mukjizat Musa a.s.
Pada ketika Allah menzahirkan kemuliaan dakwah kepada manusia, segala kemuliaan duniawi itu akan mencari pembawa-pembawa dakwah yang sangat agung ini. Seperti mana orang-orang yang sesat di tengah hutan akan mencari-cari cahaya yang boleh menunjukkan jalan di tengah malam yang gelap gelita.
Ia dapat ditunjukkan dalam kisah Musa a.s ini, ahli-ahli sihir itu lantas terus bersujud kepada Allah dan memeluk Islam. Tidakkah itu satu kemuliaan duniawi (dengan sujudnya orang yang hebat dan masyhur di sisi kaum Firaun, tetapi lantas menyokong risalah Musa a.s) setelah kemuliaan dakwah terzahir?
Letakkanlah kemuliaan dakwah di hadapan diri kita, nescaya segala yang kita lakukan akan menjadi mulia, tidak kira ia adalah study, bekerja, menolong ibubapa, mengajar, berjalan ke masjid dan sebagainya. Pohonlah agar Allah sentiasa muliakan kita dengan dakwah, dan memuliakan dakwah dengan diri kita.
Ingatlah orang terdahulu dirinya layak digelar syuhada’ dan perintis jalan ini kerana diri mereka sentiasa terbakar dengan rasa izzah dakwah, bukan izzah jahiliyyah. Mereka sentiasa menghayati firman Allah:
“Adakah mereka (orang munafiq) menyangka di sisi mereka itu ada ‘izzah’, sesungguhnya ‘izzah’ itu segalanya adalah pada Allah” – Surah An-Nisa’.
Himmah mereka yang membuak-buak membuatkan diri mereka sentiasa bertaharruk, mencari segala ruang agar obor-obor kemuliaan dakwah ini dapat dinyalakan dan menyelamatkan seberapa ramai mungkin manusia daripada jahiliyyah.
Himmah mereka untuk menyelamatkan manusia seperti kata-kata Isa a.s apabila tiba di suatu kampung :
“Tunjukkan padaku manakah lelaki yang paling jahat di sini?”
Lantas teman rapatnya Yahya a.s yang ketika itu bersamanya bertanya :
“Mengapa kau mahu lelaki yang paling jahat?”
Lantas Isa a.s menjawab: “Kerana aku ingin mengubatinya”
Akhirnya dengan izzatud dakwah ini, ia akan menjadikan kita seperti mana ia telah menolak orang-orang sebelum kita untuk tunaikan amanah yang penuh sarat dengan cubaan dan ujian, namun himmah mereka yang kuat telah menjadikan istiqamah sebagai jalan yang paling dicintai, kerana mereka memahami ..
Bilamana mereka meminta agar ditunjukkan jalan yang lurus;
Jalan yang lurus bermaksud jarak yang paling dekat di antara dua titik seperti yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim dalam Madarij Salikin. Maka oleh kerana itu, istiqamah itu bermaksud kelurusan dan dekatnya ia pada tujuan (ghayah) iaitu Allah.
Dengan itu, mereka memahami bahawa hakikat istiqamah itu adalah pada dekatnya ia dengan Allah, dan bererti taqarrub. Lantas mereka dengan himmah yang tinggi itu sentiasa memohon agar sentiasa rapat dengan Allah… melalui jalan orang-orang yang istiqamah.
Maka benarlah kata-kata Allah:
“Dan bagi Allah segala kemuliaan, dan juga Rasul-Nya, dan para mukminin tetapi orang yang munafiq tidak mengetahuinya” – Surah Munafiqun.
Wallahua’lam
Petikan artikel
Tuesday, 8 June 2010
Nampak hebat... Tapi sebenarnya tidak kuat...

Kekuatan dan kehebatan seseorang sebenarnya bergantung kepada kekuatan peribadinya. Dalam Islam, seseorang itu dikira hebat atau kuat apabila tinggi akhlaknya. Sebaliknya apabila rendah akhlaknya maka seseorang itu tidak dipandang tinggi. Nilaian ini sebenarnya diakui oleh semua masyarakat manusia zaman berzaman sebelum dan selepas kedatangan Islam. Cuma apabila kehidupan manusia lebih tertumpu kepada kebendaan (material) nilaian ini berubah sedikit demi sedikit sehingga yang lemah pada hakikatnya tetapi dipandang hebat apabila dia berjaya mempromosi dirinya sehingga dilihat hebat. Sebaliknya yang kuat tidak dipandang hebat apabila gagal mempamerkan kehebatannya.
Orang yang cermat dalam menilai tidak sekadar melihat apa yang dipersembahkan tetapi juga melihat hakikat apa yang dipersembahkan berpandukan asas penilaian yang tepat. Dalam hal ini sebenarnya al-Quran dan al-Sunnah diturunkan adalah untuk mengajar manusia tentang asas-asas penilaian tersebut.
Sifat Amanah, Jujur, Benar, Adil, Setia Pada Janji, Iffah, Berani, Kuat Kehendak, Rajin, Sabar, Bersedia Untuk Berkorban, Tekun, Teliti, Tenang, Lemah Lembut dll adalah merupakan asas-asas akhlak yang penting kepada peribadi seseorang. Kekuatan dan kehebatan peribadi seseorang sebenarnya berdasarkan sejauh mana kuatnya sifat-sifat tadi dalam dirinya. Begitu juga setiap sifat tadi dan kekuatannya akan melahirkan perilaku dan peribadi seseorang. Jika kuat maka kuatlah peribadinya dan jika lemah maka lemahlah peribadinya.
Begitu juga kekuatan sesuatu bangsa itu untuk bangkit dan ke depan daripada bangsa-bangsa lain di dunia ini apabila majoriti individu-individu daripada bangsa tersebut memiliki kekuatan akhlak ini. Itulah apa yang dikatakan oleh Abul A’la al-Maududi sebagai Akhlaq Asasiyyah… Tidak kira sama ada bangsa itu beriman atau tidak.. atau untuk tujuan baik atau atau sebaliknya, mereka akan berjaya dan akan ke depan daripada bangsa-bangsa lain jika mereka memiliki ketinggian akhlaq tersebut. Sebaliknya jika umat Islam sendiri tidak mempunyai akhlaq tadi mereka tetap akan tinggal di belakang dan tetap akan ditinggalkan oleh umat lain yang memiliki akhlaq tadi. Ini kerana Allah telah menjadikan alam ini bergerak mengikut satu sunnah yang dinamakan Sunnah Sebab Dan Musabbab… dan Allah tidak pernah mengubah sunnahNya.
“Dan kamu tidak akan dapati bagi sunnah Allah itu sebarang perubahan” (al-Fath: 23).
Islam datang hanya menyempurnakan ketinggian akhlak tersebut dari segi meletakkan asas yang bertunjangkan aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta mengajar manusia bagaimana cara perlaksanaan yang betul kepada nilai akhlaq tersebut. Semuanya terkumpul di dalam Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan yang pada teorinya keempat-empat perkara tadi boleh disusun tertibkan antara satu sama lain tetapi pada hakikatnya ia terjelma dalam bentuk satu adunan di alam praktikal dalam peribadi seseorang.
Jika sekiranya umat Islam menghiasi diri mereka dengan ketinggian akhlaq tadi serta diasaskan di atas asas Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan, sudah tentu mereka akan mendahului umat lain di dunia ini kerana akhlaq mereka pasti lebih kuat dengan asas-asas tadi jika dibandingkan dengan umat lain dan perlaksanaan akhlaq mereka untuk mendapat balasan akhirat yang akan menggamit pertolongan Allah dan keberkatan daripadaNya.
Antara hikmah besar kenapa Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dipilih di kalangan Quraisy adalah kerana ketinggian akhlaq bangsa Quraisy yang sedia ada sebagai tapak berdirinya tamaddun Islam, sedangkan ketika itu telah ada tamaddun Greek, Cina, Room dan Parsi yang sedang menuju keruntuhan bermula dengan keruntuhan akhlaq mereka.
Contohnya sifat iffah (suci diri) yang dimiliki oleh orang Arab Quraisy menyebabkan mereka sanggup membunuh anak perempuan mereka semasa kecil kerana bimbang anak itu akan membesar dan membawa malu kepada keluarga apabila terlibat dengan perzinaan. Begitu juga dengan sifat berani yang ada pada mereka menyebabkan mereka sanggup berperang hanya dengan sebab yang remeh. Rasulullah s.a.w datang dengan risalah yang mengekalkan akhlaq (jati diri) yang ada dan menyempurnakanya dengan asas dan perlaksanaanya yang betul. Sabda Rasulullah:
“Hanyasanya aku diutus adalah untuk menyempurnakan ketinggian akhlaq…”
Mana-mana pejuang lebih-lebih lagi pejuang Islam yang ikhlas ingin memartabatkan ketinggian umat dan bangsanya tidak dapat tidak mesti menumpukan perhatiannya dalam membentuk akhlaq (jati diri) individu umat bangsanya dengan akhlaq yang mulia serta mengikis segala akhlaq dan perangai buruk yang menjadi sifat serta amalan bangsanya.
Oleh itu bagi saya mana-mana parti tak kira parti Islam atau yang berasaskan bangsa atau mana-mana kelompok dan kumpulan dakwah yang hanya gerak kerjanya berkisar di sekitar menangani isu atau masalah semasa dan tidak menumpukan dari segi pembentukan akhlaq dan jati diri ahli serta pengikutnya (dalam ertikata yang sebenar) yang akan mengesani masyarakat bangsanya, sebenarnya akan berkisar di tempat yang sama tidak akan membawa apa-apa perubahan sebenar dan apa-apa kemajuan hakiki untuk meninggikan kedudukan umat bangsanya. Lebih-lebih lagi jika di dalam gerak kerja dan amalan hariannya sama ada di dalam menangani isu dalaman atau luaran atau di dalam mempromosikan wadah dan dakwah, atau dalam memenangi pandangan umum dalam isu-isu tertentu menggunakan cara-cara yang bertentangan dengan nilai akhlaq (tidak bermoral) seperti menipu (Tadlis), manipulasi orang lain, Tanakur (penyamaran), memburukkan yang lain untuk menaikkan diri dan sebagainya, sebenarnya secara tidak sedar apa yang mereka lakukan itu lebih banyak meruntuh daripada membangun. Ini kerana pembentukan akhlaq dan jati diri tidak hanya lahir daripada teori yang berjela tetapi amalan harianlah yang banyak mengesani perilaku yang akan membentuk akhlaq dan perangai.
Menipu atau tadlis iaitu menggunakan satu cara yang tidak sebenar (mungkin perlu penerangan dalam ruangan lain) untuk memenangi hujjah adalah bertentangan dengan sifat benar. Tanakur atau penyamaran akan membawa kepada sifat penakut yang bertentangan sifat berani. Manipulasi membawa kepada berbuat zalim yang bertentangan dengan sifat adil, memburukkan yang lain untuk menaikkan diri bertentangan dengan sifat iffah (suci diri) dan membawa kepada zalim yang bertentangan dengan sifat adil. Kesemua tingkah laku ini akan membentuk perangai buruk yang pada hakikat jangka panjangnya akan membawa kepada keruntuhan walaupun ia mencapai kemenangan dan kejayaan yang sementara.
Rasulullah s.a.w dihantar membesar di kampung pendalaman antara hikmahnya adalah untuk mendapat kemurnian akhlak dalam pembentukan peribadinya (selain daripada kemurnian bahasa), kerana masyarakat bandar (Mekah) masyarakat kosmopolitan semasa itu telah tercalar sedikit sebanyak nilai akhlaqnya. Oleh kerana itulah Syariat Islam di awal penurunannya (peringkat Makki) berkisar di sekitar penanaman aqidah dan pembentukkan akhlaq sebelum penyempurnaan dalam hukum-hakam amalan zahir di peringkat Madani sebagai asas kepada pembentukan sebuah tamaddun.
petikan dari ismaweb
Sunday, 6 June 2010
Perlu + Wajib

Seruan daripada Allah s.w.t. kepada seluruh mukminin. Kamu sekali-kali tidak akan ditimpa ketakutan, tidak akan diselubungi kesedihan dan hati kamu sekali-kali tidak akan diresapi kekecewaan. Kekecewaan tidak akan bergabung dengan keimanan, kamu berada pada darjat yang paling tinggi selagi mana kamu beriman serta mempunyai talian dengan Allah yang Maha Mulia lagi Berkuasa.
Kita boleh melakukan banyak perkara demi untuk saudara-saudara kita di Gaza.
Ini adalah kewajiban setiap individu..
- Qunut - Membaca qunut pada setiap kali solat dan ajarkan makna qunut dan waktunya kepada orang-orang yang masih belum mengetahuinya.
- Tinggalkan makanan, minuman dan kerehatan yang berlebihan dan salurkannya kepada saudara-saudara kita di Palestin. Salurkan kepada badan tempatan yang menguruskan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin.
- Mendermalah untuk membeli senarai ubat-ubatan yang diperlukan dan diumumkan oleh persatuan perubatan dan kesatuan doktor-doktor Arab. Menyumbang secara terus samada sumbangan yang berbentuk material ataupun kewangan.
- Bersama-sama turut serta mempersiapkan rombongan (untuk menyalurkan kelengkapan pakaian, makanan dan bahan api).
- Menyumbanglah dengan darah kamu (Jikalau kamu terhalang untuk berjihad di bumi Palestin, maka menyumbanglah dengan darah kamu untuk menyelamatkan para mujahidin di sana).
- Luahkan kemarahan kamu dengan segala wasilah yang dibenarkan - sertailah perhimpunan yang disusun secara sah di stadium dan dataran di peringkat negeri atau kebangsaan ataupun di kawasan-kawasan perumahan dan kampung.
- Paparkan slogan pada banner, bunting atau tulislah dengan tangan kamu sendiri atau sebarkanlah sms dan emel.
- Tabung Palestin di setiap rumah (Didik anak-anak kamu menabung dari perbelanjaan mereka demi untuk Palestin).
- Wahai para pemudi dan wanita yang beriman mendermalah dengan barang-barang perhiasan yang kamu miliki.
- Kepada seluruh warga yang bekerja, gunakanlah kedudukan kamu untuk menyelamatkan Palestin. Sebagai contoh:-
- Para Pendakwah: Bangunkan Ummah untuk membantu Palestin dan serulah pihak-pihak berkuasa dengan kebenaran.
- Ahli Parlimen: Gunakan segala jentera pemantauan supaya Kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya secepat mungkin.
- Ahli Politik dan Parti: Himpunkan ummah untuk isu ini, berlumba-lumbalah sekarang untuk menyelamatkan ummah.
- Pengamal Undang-undang : Berusahalah di peringkat nasional dan antarabangsa untuk mengutuk perang dan penyembelihan secara beramai-ramai ini.
- Wartawan: Sertailah dengan kalimah : melalui bahan bacaan ataupun televisyen, sebarkan kepada dunia melalui radio dengan maklumat-maklumat dan juga melalui televisyen mengenai usaha ummah untuk menyelamatkan Palestin. Dedahkan pekung musuh, berilah peringatan kepada mereka yang berlengah-lengah, serulah ummah dan bangunkan orang-orang yang lupa.
Kewajiban secara jama'ie
Semua Kesatuan, persatuan dan pertubuhan-pertubuhan NGO, sekarang ini sedang berhimpun untuk menyusun usaha secara berkumpulan menuntut supaya pintu masuk ke Palestin dibuka. Dengan izin Allah semua pertubuhan ini dengan kerjasama daripada rakyat Arab, umat Islam dan seluruh rakyat di dunia akan melakukan apa yang tidak dilakukan oleh negara-negara dan institusi-institusi antarabangsa.